Penyanyi Alif Satar menyifatkan kehadiran dua orang anaknya, Alisha Anugerah dan Ariana Mecca sebagai pembakar semangat.

"Tahun 2017 merupakan tahun ke-11 penglibatan saya dalam industri hiburan. Jika dahulu, kerjaya sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara hanya berlangsung secara mendatar.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dua tahun kebelakangan ini, bakat saya mula mendapat perhatian. Walaupun sibuk dengan pelbagai tawaran kerja, saya tetap melunaskan semua kerja tersebut dengan penuh berdedikasi kerana saya anggap itu sebagai rezeki saya.

"Biarpun jadual saya sangat padat, saya menjadikan dua orang puteri saya sebagai penguat jiwa. Mereka membakar semangat saya untuk memberikan yang terbaik," kata Alif kepada Astro Gempak.

Bakal muncul dalam drama bersiri terbaru berjudul Hikayat Cinta Si Pematah Hati, Alif bakal bergandingan dengan bakat baru, Nabila Razali.

"Drama bersiri adaptasi novel ini merupakan gandingan pertama saya bersama Nabila. Sejujurnya, saya agak gementar menantikan respon peminat.

"Penangan drama bersiri yang saya jayakan dahulu, Dia Semanis Honey masih lagi diperkatakan sehingga kini. Saya berharap agar drama bersiri ini turut mendapat perhatian peminat seperti drama bersiri Dia Semanis Honey," katanya lagi.

Selain Alif dan Nabila, Hikayat Cinta Si Pematah Hati turut membariskan Hafreez Adam, Yaya Zahir, Nadiyah Shahab dan ramai lagi.

Drama bersiri ini akan mula bersiaran pada 24 April jam 10.00 malam, setiap Isnin hingga Khamis hanya di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal