Pelakon Nazim Othman bertambah yakin untuk bergelar penyanyi selepas menerima banyak komen positif daripada peminatnya.

Menurut Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, 33, peminat tidak putus-putus memberikan kata semangat sejak single terbaharunya, Kerana Cinta dilancarkan secara digital pada 24 Mac lalu.

"Saya telah menerima banyak komen yang memberangsangkan daripada pendengar sejak lagu tersebut dilancarkan baru-baru ini.

"Maklum balas positif yang diberikan itu membuatkan saya sentiasa berhati-hati untuk memperbaiki kelemahan diri dan tidak mahu berasa begitu selesa dengan pujian tersebut.

"Perkara itu juga menambahkan keyakinan saya dan kata-kata diberikan oleh mereka memberi semangat untuk saya mencapai cita-cita bergelar seorang penyanyi semula.

"Namun saya masih harus memperbaiki mutu vokal agar dapat memajukan karier sebagai seorang penyanyi pada masa depan," katanya kepada Astro Gempak.

Nazim berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya Kerana Cinta, di Talent Lounge, Damansara, pada Isnin.

Tambah Nazim, dia begitu gembira apabila lagu tersebut pertama kali dimainkan di stesen radio.

“Saya gembira apabila lagu ini pertama kali dimainkan di radio. Walaupun ia dimainkan menerusi segmen survey (soal selidik), namun, sekurang-kurangnya lagu tersebut didengar oleh ribuan pendengar lain,” jelasnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi