Penyanyi Siti Sarah Raissuddin menjelaskan dia mengambil sedikit masa untuk muncul dengan single terbaru.

Biarpun hampir lima bulan program GegarVaganza 3 (GV3) tamat, Sarah yang menyandang gelaran naib johan GV3 masih belum muncul dengan sebarang lagu.

"Sejujurnya, saya pun tidak mahu single itu keluar lambat. Namun begitu, saya mahukan hasil yang terbaik kerana saya sendiri sudah lama tidak muncul dengan lagu terbaru.

"Apa yang boleh saya katakan, single ini saya dedikasikan untuk semua peminat yang tidak pernah berhenti menyokong karier nyanyian saya.

"Single tersebut sudah pun dirakamkan pada bulan lalu. Lagu itu merupakan ciptaan Tam Spider dan kini hanya menanti masa yang sesuai untuk dilancarkan tidak lama lagi," kata Sarah kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya bilakah dia akan mengadakan showcase seperti rakan-rakan GV lain seperti Azharina dan Farahdhiya, Sarah mendedahkan dirinya masih belum bersedia.

"Pihak Hard Rock Cafe ada menawarkan saya untuk mengadakan showcase di sana. Namun begitu, saya tidak dapat melaksanakannya kerana jadual saya sangat padat selepas GV3.

"Saya sendiri masih belum bersedia untuk muncul dengan showcase kerana saya rasa saya masih belum bersedia. Jika mahu adakan showcase, saya tiada ruang untuk berlatih kerana jadual yang penuh.

"Showcase bukan sekadar menyanyi sahaja. Saya harus melakukan persiapan sepenuhnya agar saya dapat memberikan memori indah buat semua yang bakal menghadiri showcase saya. Insya-Allah, mungkin showcase saya akan diadakan selepas sambutan Syawal atau sebelum hujung tahun," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal