Penyanyi dan pelakon Farahdhiya mengakui ada pihak menganggapnya sombong sehingga sukar untuk menawan hati ramai orang.

Farahdhiya atau Farahdhiya Mohd Amin, 33, berkata, dia tidak menafikan bahawa paras rupanya juga menjadi salah satu faktor menyebabkan dirinya sukar untuk didekati.

"Itu sebenarnya masalah dihadapi oleh saya kerana ramai beranggapan bahawa diri saya ini sebagai seorang yang sombong.

"Saya memang dilahirkan mempunyai rupa paras begini dan nampak seperti sombong. Takkan saya harus lakukan pembedahan plastik untuk menjadikan muka saya sentiasa tersenyum.

"Namun jika ada orang mengenali saya dengan lebih rapat mereka akan tahu perangai gila-gila saya yang sebenar dan tidak seperti disangkakan.

"Biarlah mereka menilai sendiri kerana saya tidak boleh untuk mengubah persepsi orang ramai yang anggap saya sombong," katanya kepada Astro Gempak.

Farahdhiya berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Farahdhiya Live at Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Farahdhiya Live di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur akan diadakan pada 30 April ini dengan menampilkan penyanyi Melody United iaitu Kris Patt sebagai penyanyi undangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai persembahan boleh melayari laman web www.airasia.com dan di Rock Shop Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi