Penyanyi yang popular dengan lagu Sabar, Ismail Izzani akui tidak terfikir untuk bersaing dengan teman seangkatan, Aiman Tino dan Haqiem Rusli.

Ismail atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal, 17, berkata setiap penyanyi mempunyai kelebihan tersendiri dan sentiasa menyokong kerjaya antara satu sama lain.

"Mereka adalah sahabat saya jadi tidak timbul perasaan ingin bersaing antara satu sama lain.

"Saya fikir positif lagipun masing-masing ada kelebihan sendiri termasuklah dari segi kekuatan lagu.

"Jadi kami buat apa yang kami minat dan sokong antara satu sama lain," katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu mengulas mengenai muzik videonya, Ismail memberitahu dia tidak menyangka menerima jumlah tontonan melebihi tiga juta.

"Saya pun tak pernah sangka lagu Sabar ini orang suka sehingga dapat lebih tiga juta tontonan.

"Pada mulanya saya ingat lagu ini hanyalah sekadar orang dengar sekali lalu sahaja.

"Saya pun tak meletakkan harapan tinggi memandangkan masih baru dalam industri, tapi itulah yang dikatakan rezeki.

"Saya memang rasa sangat bersyukur apabila ramai yang sukakan lagu ini dan rasa gembira sebab saya rasa orang dah mula menerima saya sebagai penyanyi baru," ujarnya.

Teks Oleh: Mya Amri