Pelakon Azizah Mahzan akui lebih selektif dalam tawaran lakonan yang diterima.

Azizah, 53, berkata dia akan menolak watak ibu jika ia sekadar mahu melengkapi sesuatu naskah.

"Sebenarnya daripada dulu lagi saya lebih selektif. Saya akan terima naskhah yang mampu menarik perhatian saya sahaja.

"Saya tidak mahu terima tawaran ibu jika ia hanya untuk melengkapi sesebuah naskhah yang perlu ada ayah, ibu dan anak.

"Saya hanya terima watak ibu jika ia memain peranan utama dalam naskah tersebut.

"Saya juga berlakon di bawah arahan orang yang pernah saya bekerja sahaja kerana saya tidak selesa untuk bekerja dengan orang-orang baru.

"Namun saya tak nafikan mereka (pengarah baru) ini lebih bertenaga dan banyak idea," katanya kepada Astro Gempak.

Justeru, Azizah memberitahu dia kini kurang muncul di kaca televisyen kerana selain selektif dia juga menuntut harga yang agak tinggi.

"Kebanyakan produksi kata saya mahal dan suka berdrama.

"Sebenarnya saya letak harga sebegitu kerana ada sebab tersendiri.

"Lagipun bayaran yang saya terima itu dibahagikan kepada beberapa keperluan untuk watak itu iaitu saya perlu rancang untuk baju saya sendiri," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, pelakon ini bakal muncul dalam drama popular Mak Cun musim ketiga tidak lama lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal