Suami kepada pelakon Serina Redzuawan iaitu Gavin Edward O'Luanaigh mengakui tidak mengetahui punca sebenar isterinya meninggalkan rumah mereka pada Januari tahun lalu.

Menurut O'Luanaigh, segalanya musnah apabila Serina mengambil keputusan untuk berpindah keluar dari rumah dan memfailkan perceraian.

"Saya tidak tahu dan masih tidak faham mengapa dia meninggalkan saya kerana tidak diberitahu.

"Bagaimanapun saya berharap penyelesaian terbaik boleh dicari dan perkahwinan ini dapat dipulihkan.

"Walaupun tidak tahu ke mana dia pergi dan di mana dia tinggal, saya percaya tiada mana-mana pihak ketiga terlibat dalam isu ini kerana saya percaya dengan Serina. Saya sanggup menunggu agar dia berfikir tentang tindakannya dan keluarga kami," katanya.

O'Luanaigh menjelaskan bahawa dia sentiasa menyokong kerjaya dan cita-cita Serina dan tahu isterinya itu tidak mahu hanya menjadi seorang suri rumah.

Tambah O'Luanaigh, dia sentiasa memastikan perbelanjaan keluarganya mencukupi dan membiarkan Serina berbelanja mengikut kemahuannya sendiri.

"Saya tidak kisah dengan semua perbelanjaan itu kerana ia adalah tugas saya untuk keluarga dan saya sedar mengenai tanggungjawab saya sebagai seorang suami untuk menyediakan semua keperluan dengan sewajarnya," katanya.

Bagaimanapun O'Luanaigh berkata dia berasa sedih apabila terpaksa menulis mengenai perkara ini secara terbuka kerana hasrat dia dan juga Serina adalah untuk menjaga perkara ini sebagai isu tertutup dan peribadi.

Minggu lalu, Cef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail, mendedahkan kepada umum mengenai kisah menantunya yang didakwa kedekut dan tidak bertanggungjawab dalam memberi nafkah membuatkan Serina terbeban dengan kerja lebih masa.

Pasangan itu bernikah pada tahun 2010 dan kini dikurniakan dua cahaya mata comel, iaitu Isabella Saffiya dan Tristan Tareef.

Sumber: The Star / mStar Online