Kumpulan nasyid UNIC mengambil pendirian untuk tidak melatah selepas menerima pelbagai kecaman netizen akibat penyertaan mereka dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV).

Aksi UNIC yang dianggotai oleh Bazli, Fakhrul dan Najdi di pentas GGV menerima kritikan serta kecaman pengguna laman sosial.

“Kami mengambil keputusan untuk tidak melatah. Kami tidak menjawab sebarang kecaman dan kritikan netizen. Bagi kami, masing-masing mempunyai pendapat berbeza.

“Kami juga turut mendapatkan pandangan penyanyi senior yang turut menyertai GGV mengenai keadaan yang sedang kami lalui. Kata mereka, kritikan orang yang tidak berpuas hati akan reda sendiri. Jadi, biarkan sahaja,” kata Fakhrul mewakili UNIC.

Menjadi kumpulan yang mendapat kutipan markah tertinggi di minggu kedua GGV, UNIC bersyukur kerana persembahan mereka menyampaikan lagu Hijau Bumi Tuhan nyanyian asal XPDC mendapat komen positif juri.

“Alhamdulillah, kami sendiri tak sangka yang kami akan mendapat kedudukan pertama di minggu kedua. Kami sangat bersyukur kerana apa yang kami sampaikan mendapat respon positif ramai pihak.

“Apa yang penting, kejayaan di minggu kedua akan kami gunakan untuk membakar semangat agar kami melakukan yang lebih baik lagi di minggu ketiga dan minggu-minggu seterusnya,” kata Bazli.
Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal