Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Joraz, dianggotai Rahim, Joey dan Syuk mengakui terkejut apabila diumumkan tersingkir pada minggu kesembilan.

Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, berkata Joras telah melakukan yang terbaik dan mengakui 'Cerita Rakyat dan Cerita Moden' adalah tema yang agak sukar.

"Secara jujurnya kami tidak menyangka akan disingkirkan pada malam ini kerana bagi saya ada lagi kumpulan yang tidak menyerlah daripada Joras.

"Namun ini semua bergantung kepada rezeki dan kami harus menerima keputusan yang telah ditetapkan meskipun ada perasaan kecewa apabila disingkirkan pada minggu kesembilan.

"Terus terang saya katakan bahawa tema pada minggu ini amat sudah dan kami telah lakukan yang terbaik namun ia gagal menarik perhatian juri dan sesetengah penonton.

"Kami tidak akan berputus asa serta percaya pada rezeki dan sejujurnya kami telah ada perancangan yang lebih baik jika diberikan peluang ke final," katanya kepada Astro Gempak.

Joey ditemui ketika majlis sidang media minggu kesembilan MLM2017 bertempat di Royal Theater Shah Alam, Jumaat lepas.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Datuk Aznil Nawawi dan Neelofa yang akan mengadili para peserta.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik di sini ----> MAHARAJA LAWAK MEGA 2017

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi