Penyanyi Haqiem Rusli mendedahkan lirik yang disampaikan dalam setiap lagu dinyanyikan, berkait rapat dengan kisah hidupnya.

Haqiem, 19, berkata dua single Segalanya dan terbaharu Tergantung Sepi mengisahkan dirinya yang telah dikecewakan kekasih.

"Semua lagu-lagu yang saya sampaikan mempunyai kaitan dengan diri dan kehidupan saya.

"Saya akan menceritakan kisah hidup dan percintaan saya kepada setiap komposer yang mahu mencipta lagu buat saya, supaya setiap lagu mendapat inspirasi dari saya.

"Single pertama saya, Segalanya mengisahkan mengenai kisah diri saya yang pernah ditinggalkan kekasih.

"Bagi single terbaru, Tergatung Sepi pula ia masih menceritakan mengenai percintaan saya yang dikecewakan kekasih yang mana ada kesinambungan dengan Segalanya.

"Namun single kedua ini juga ada berkait rapat dengan banyak lagi kisah hidup saya iaitu antaranya ia merupakan luahan hati saya yang sedih apabila tewas dalam sebuah pertandingan nyanyian," katanya kepada Astro Gempak.

Haqiem memberitahu dia lakukan begitu adalah kerana mahu lebih mudah menghayati setiap lagu yang disampaikan.

"Saya mahu buat kelainan, walaupun saya tidak menulis lagu tersebut tetapi saya mahu setiap lagu dekat dengan diri saya.

"Selain mudah untuk saya hayati, saya mahu lirik yang saya sampaikan itu boleh dirasa pendengar," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal