Pelakon Fizz Fairuz mengakui mengambil masa selama setahun untuk berehat dari dunia lakonan.

Fizz berkata, dia berehat seketika kerana ingin memberi fokus kepada beberapa projek karnival di Pahang pada tahun lalu.

Fizz atau Mohd Fairuz Zainil Abidin, 38, berkata, dia kini telah bersedia untuk menerima beberapa tawaran serta kembali berlakon semula dalam drama dan filem.

"Saya mengambil keputusan berehat daripada dunia lokonan bukan bererti menyepi dari industri hiburan sebaliknya untuk memberi fokus kepada beberapa projek dengan kerajaan negeri Pahang.

"Ini kerana pada tahun lalu saya terpaksa untuk menolak beberapa tawaran filem dan drama bersiri kerana ingin memberi fokus sepenuhnya kepada projek tersebut.

"Sekarang ini saya sudah bersedia untuk kembali bergiat aktif menjadi seorang pelakon semula dan telah menerima beberapa tawaran berlakon filem.

"Alhamdulillah, selepas setahun berehat saya masih lagi menerima tawaran daripada beberapa syarikat produksi dan bersedia kembali mewarnai industri hiburan semula," katanya kepada Astro Gempak.

Fizz berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya bertajuk Hospital, di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Fizz, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk filem Munafik 2 dan sebuah drama untuk slot Akasia.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi