Jika sebelum ini masyarakat digemparkan dengan insiden seorang penumpang diheret keluar secara kasar daripada pesawat United Airlines, terbaru, seorang lagi penumpang malang telah disengat haiwan berbisa semasa berada di dalam pesawat tersebut.

Seekor kalajengking secara tiba-tiba telah jatuh di atas kepala seorang penumpang bernama Richard Bell yang pada waktu itu sedang makan.

Dia yang terkejut kemudian telah menepis haiwan itu lalu ia jatuh ke atas meja.

Semasa dia cuba mengalihkan haiwan tersebut dan memegangnya di bahagian ekor, Richard telah disengat pada bahagian tangannya.

Penumpang lain yang menyedari kemunculan haiwan berbisa itu telah menjerit ketakutan dan menyebabkan keadaan menjadi kecoh.

Anak kapal yang berada di dalam pesawat kemudian tampil dengan membunuh haiwan itu lalu membuangnya di dalam tandas.

Menurut CNN, pihak United Airlines tidak pasti bagaimana haiwan tersebut boleh berada di dalam pesawat.

Sejurus mendarat di Calgary, Kanada, Richard telah diberikan rawatan kecemasan bagi membuang bisa haiwan tersebut.

Pihak United Airlines kemudian memohon maaf kepada penumpang malang itu dan mereka berjanji untuk memberikan pampasan.

Sumber : CNN
Olahan : Izzat Ridzwan