Pelakon Serina Redzuawan, 34, enggan memberi komen lanjut berhubung kenyataan bapanya, Datuk Redzuawan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, yang menyalahkan suaminya, Gavin Edward O'luanaigh, 40, sebagai punca keretakan rumah tangga mereka.

Serina enggan menuduh mana-mana pihak dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai jodoh yang tidak panjang.

"Saya anggap jodoh kami tidak panjang. Saya kena jaga maruah dan air muka dia (suami). Apatah lagi dia adalah bapa kepada anak-anak saya.

"Saya bukan ingin meraih simpati mahupun publisiti murahan. Cuma saya minta peminat doakan yang baik-baik buat saya dan keluarga. Apa-apapun, ia (cerai) masih dalam proses lagi dan kami belum berpisah," katanya.

Semalam, Chef Wan, 59, menerusi akaun Instagram rasminya mendakwa perkahwinan anaknya retak berikutan sikap Gavin yang dikatakan tidak menjalankan tanggungjawab sepatutnya sebagai suami.

Selepas kira-kira tujuh tahun mendirikan rumah tangga, Serina kini dalam proses menuntut cerai daripada Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

Serina reda ada hikmah di sebalik masalah rumah tangga yang dilaluinya dan berserah kepada Allah dalam meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya reda dengan qada dan qadar. Jangan pernah menyalahkan takdir dan jodoh, pasti ada hikmah serta rahsia kebahagiaan yang Allah janjikan. Saya hanya berserah pada Yang Maha Kuasa.

"Terima kasih buat peminat yang menyokong saya, memberikan semangat dan doa. Insya-Allah, saya lebih tenang dan bahagia selepas ini. Saya bersyukur, anak dan keluarga adalah kekuatan saya sekarang," tambah Serina.

Serina dan Salahudin bernikah pada 1 Januari 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef serta Isabella Saffiya.

Sumber: BH Online
Kredit gambar : IG @chefwan58, @serinaredzuawan