Penyanyi yang popular dengan lagu Sabar, Ismail Izzani mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap pelajaran dan juga bidang nyanyian.

Ismail atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal, 17, berkata dia perlu bijak membahagikan masa antara dua bidang tersebut untuk jaminan masa hadapan.

“Walaupun tidak lama lagi saya bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun itu bukan penghalang untuk saya terus menyanyi.

“Saya mengambil inisiatif untuk melakukan pembelajaran dari rumah (home schooling) jadi saya perlu pandai membahagikan masa antara dua bidang tersebut.

“Pada mulanya memang agak sukar untuk beri tumpuan pada kedua-duanya tapi atas nasihat ibu, saya berjaya lakukannya.

“Saya ingat pesannya, kerjaya dan pelajaran perlu seiring supaya senang untuk masa depan nanti,” katanya kepada Astro Gempak.

Ismail ditemui pada majlis kejutan hari jadinya yang ke-17 bertempat di Pastamania, Sunway Velocity Mall, semalam.

Bercerita mengenai lagu Sabar, Ismail akui tidak menyangkan single tersebut akan menjadi popular sehingga melonjakkan namanya sebagai penyanyi baru.

“Alhamdulillah, single saya semakin diterima umum dan mendapat banyak komen-komen positif.

“Kadang-kadang bila difikirkan kembali, rasa macam tak percaya pun ada juga. Terima kasih untuk peminat yang menyokong kerjaya saya,” ujarnya.

Teks Oleh: Mya Amri