Pelakon Shima Anuar mengakui suaminya, Mohd. Solih Toha, 42, tidak menghalangnya untuk terus bergiat aktif dalam bidang lakonan.

Shima atau nama sebenarnya Noor Hashimah Anuar, 26, berkata, akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon walaupun sudah bergelar isteri.

"Saya akan meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon kerana itu merupakan hasil pendapatan saya sejak dahulu, dan bukan mudah untuk saya berhenti secara mendadak.

"Suami sangat menyokong dan masih memberikan peluang untuk saya meneruskan kerjaya.

"Jika ada masa, dia juga datang ke lokasi penggambaran menemani saya bekerja.

"Namun sebagai seorang isteri saya harus menjalankan tanggungjawab dan menjaga batas-batas bila berlakon dengan pelakon lelaki," katanya kepada Astro Gempak.

Shima berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya bertajuk Hospital, di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Shima dan Solih telah mendirikan rumah tangga pada 8 April lalu, selepas mengikat tali pertunangan pada 17 Disember 2016.

Mereka telah diijabkabulkan di kediaman keluarga Shima di Rawang, Selangor sebelum diraikan dalam sebuah majlis resepsi di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur pada sebelah malam hari yang sama.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi