Pelakon baru, Syazuwan Hassan tidak menjangka wataknya dalam drama bersiri Cik Serba Tahu mendapat respon positif orang ramai.

Melakonkan watak seorang jejaka psycho bernama Riduan, Syazuwan gembira karakternya mengundang kebencian peminat setia drama bersiri tersebut.

“Alhamdulillah, watak Riduan mendapat maklum balas positif orang ramai. Menerusi pemerhatian yang saya lakukan di laman Twitter, ramai penonton yang benci dan takut dengan watak Riduan.

“Walaupun watak tersebut mengundang kebencian peminat dan penonton setia Cik Serba Tahu, saya rasa gembira kerana itu menjadi petanda lakonan saya memberikan kesan,” kata Syazuwan kepada Astro Gempak.

Berlakon bersama nama-nama besar seperti Remy Ishak, Sari Yanti dan Zarul Umbrella, Syazuwan yang popular menerusi drama bersiri Sein dan Luna ini mengutip pengalaman menerusi gandingannya bersama pelakon-pelakon senior.

“Walaupun watak saya bukan watak utama, saya gembira kerana terlibat dalam drama bersiri ini. Cik Serba Tahu dibarisi oleh pelakon-pelakon senior dan berbakat.

“Saya menimba banyak pengalaman ketika berada di set penggambaran Cik Serba Tahu. Respon dan maklumbalas peminat mengenai cara lakonan saya akan saya gunakan untuk penambahbaikan di masa akan datang,” katanya lagi.

Drama bersiri Cik Serba Tahu ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). Gunakan hashtag #CikSerbaTahu untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal