Penyanyi baru yang sedang meningkat naik, Khai Bahar merakamkan muzik video single keduanya, Dari Jauh Saja di kota London.

Menerima respon positif peminat, muzik video Dari Jauh Saja kini menerima hampir dua juta tontonan di laman YouTube.

“Ada adegan yang terkandung dalam muzik video tersebut saya rakamkan di London. Saya ke London sekitar hujung tahun lalu untuk bercuti. Alang-alang sudah ke sana, saya juga turut menjalankan penggambaran untuk muzik video.

“Alhamdulillah, saya sangat terharu dengan penerimaan peminat yang tidak henti-henti menyokong kerjaya nyanyian saya. Selepas single Bayang, Dari Jauh Saja juga menerima maklum balas yang sangat baik.

“Lagu ini merupakan hasil ciptaan Denny Mojo dan telah disimpan selama lapan tahun,” kata Khai kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaru, Khai juga dalam perancangan untuk menghasilkan single ketiga.

“Saya bakal muncul dengan single ketiga sekitar bulan Jun atau Julai. Setakat ini, saya selesa untuk tampil dengan single solo. Saya teringin juga untuk berduet dengan mana-mana penyanyi tetapi buat masa ini, saya mahu fokus kepada kerjaya sebagai penyanyi solo,” katanya lagi.

Jejaka yang dikenali menerusi aplikasi nyanyian Smule ini juga turut tercalon dalam Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) menerusi dua kategori iaitu Penyanyi Paling MeleTOP dan Artis Baru MeleTOP.

Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir AME 2017 boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.

AME 2017 bakal menyaksikan Neelofa, Nabil Ahmad dan Johan sebagai pengacara. Penyampai Era FM, Radin serta Fad Bocey akan mengendalikan acara Karpet MeleTOP.

AME 2017 akan bersiaran secara langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal