Penyanyi dan bekas peserta Gegar Vanganza 3, Zarul akui rindu untuk bertugas sebagai pramugara.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 44, rasa rindu itu terbit apabila melihat foto yang dikongsi oleh rakan-rakannya di laman sosial.

"Saya dah 17 tahun berkhidmat sebagai pramugara jadi memang agak susah nak move on.

"Tipulah kalau saya kata tak rindu untuk bekerja di atas kapal terbang, rasa itu sentiasa ada cuma bila dah sibuk ni lupalah sekejap.

"Kadang-kadang bila tengok foto-foto kawan-kawan di Facebook dan Instagram (IG), dalam hati rasa macam alahai rindunya.

"Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya saya ada kenangan manis sewaktu bergelar pramugara," katanya kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaru, Zarul membintangi drama Cik Serba Tahu yang kini ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Selain Zarul, drama itu juga turut dibintangi oleh Remy, Adi Putra dan Sari Yanti.

Teks Oleh: Mya Amri