Pelakon Fathia Latiff akui sukar mencari keserasian dengan Zul Ariffin dalam menghidupkan watak sebagai suami isteri menerusi drama Menanti Februari.

Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latif, 29, berkata, dia gementar berdepan dengan heronya itu dan berpendapat Zul seorang yang sukar untuk dijangka.

"Ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Zul dan ia amat mencabar meskipun saya telah banyak kali melakonkan watak sebagai seorang isteri.

"Pada awalnya kami sukar untuk mendapatkan keserasian dan perlu mengambil masa lama untuk mencari persefahaman dalam menghidupkan watak yang diberikan.

"Bergandingan dengan Zul sangat sukar dijangka kerana dia banyak memberikan elemen kejutan dalam lakonannya terutama ketika melakonkan babak romantik.

"Adakalanya perbuatan sweetnya itu membuatkan saya berasa sangat gementar dan jadi agak malu-malu untuk meneruskan lakonan," katanya kepada Astro Gempak.

Fathia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media kempen Lipton Hanya Kaw Untukku dan drama bersiri, Menanti Februari bertempat di The Forum @ The Signature, Desa Sri Hartamas, baru-baru ini.

Tambah Fathia, dia bersyukur kerana gandingannya bersama Zul Ariffin dalam Menanti Februari mendapat sambutan yang hangat daripada peminat.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi