Pelakon Anzalna Nasir akui berasa bangga dengan adiknya, Afifah kerana lakonannya mendapat reaksi positif daripada penonton dan juga pengarah.

Menurut Anzalna, 29, walaupun dia tidak pernah mengajar adiknya berlakon namun Afifah berjaya melakukan kerjanya dengan baik.

“Afifah tidak pernah minta saya untuk ajar berlakon dan dia lakukan kerjanya itu dengan usaha sendiri.

“Kalau ditanya mengenai pendapat, saya rasa lakonan dia lebih baik berbanding saya dan itu yang saya boleh katakan.

“Rasa bersyukur sangat apabila pengarah ada memberikan kiriman mesej dan memberikan maklum balas positif terhadap Afifah.

“Afifah telah menjalankan tugasnya dengan baik walaupun masih baru dalam bidang ini. Lakonannya menerusi drama Pengantinku Jatuh Dari Langit juga menerima respon yang bagus daripada penonton,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Bercerita mengenai kerjaya adiknya, Anzalna memberitahu dia tidak pernah mencadangkan nama Afifah kepada mana-mana pengarah.

“Afifah berjaya menjadi seorang pelakon atas usahanya sendiri dan saya tidak ada mencadangkan namanya kepada pengarah.

“Tawaran lakonan yang dia dapat itu adalah rezekinya dan dia juga tidak putus-putus berusaha untuk memperbaiki mutu lakonannya.

“Sebagai kakak, saya memang sangat bangga dengan Afifah,” jelasnya.

Anzalna bakal muncul dengan drama Arluna yang akan ditayangkan pada 8 Mei menerusi slot Tiara di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Selain Anzalna, drama tersebut turut dibintangi oleh Saharul Ridzwan.

Teks Oleh: Mya Amri