Pelakon Diana Danielle akui mengambil kelas vokal untuk memperbaiki mutu nyanyiannya sebagai persediaan awal bergelar penyanyi.

Diana atau nama Diana Danielle Danny Beeson, 26, berkata, dia tidak mahu kebolehannya menyanyi dipertikai kerana dia sendiri pernah berasa ragu dengan kemampuan vokalnya.

"Saya sebenarnya telah lama mengambil inisiatif untuk masuk kelas vokal sebelum serius menjadi seorang penyanyi.

"Ini kerana rasa ragu-ragu yang terdapat dalam diri saya telah mendorong untuk memperbaiki kelemahan dan juga teknik vokal dengan betul.

“Alhamdulillah, selepas mengambil kelas saya sendiri rasa perubahan positif pada teknik nyanyian saya.

“Mutu nyanyian serta tahap vokal saya juga lebih baik dan ini membuatkan saya rasa lebih konfiden untuk menyanyi selepas ini.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk diri sendiri dan bukannya untuk memuaskan hati orang lain,” katanya kepada Astro Gempak.

Diana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya bersama Warner Music Malaysia iaitu Tentang Kita, di Neway Karaoke, One Utama, baru-baru ini.

Tambah Diana, dia bersedia untuk menerima kritikan daripada orang ramai dan menggangap perkara itu sebagai biasa.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi