Kumpulan nasyid Hijjaz mendedikasikan lagu tugasan minggu kedua mereka dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV) kepada wanita-wanita di Syria.

Mendapat tugasan untuk menyanyikan lagu rock, Srikandi Cintaku nyanyian asal kumpulan Bloodsheed, Hijjaz bersedia menggalas cabaran GGV.

"Kami tujukan lagu tersebut kepada wanita-wanita yang sedang berjuang di Syria terutamanya ibu-ibu yang meninggal dunia ketika menghadapi perang.

"Jika diteliti semula lirik Srikandi Cintaku, lagu itu memang sesuai dengan wanita-wanita yang bertarung di sana," kata Faizal mewakili kumpulan Hijjaz.

Menyahut cabaran untuk menyanyikan lagu yang bukan dari genre nasyid, Hijjaz akan tetap mengekalkan identiti mereka.

"Kami memberikan cadang kepada pihak produksi, seboleh-bolehnya kami mahu menyanyikan lagu nasyid. Namun begitu, kami sedar yang setiap minggu GGV pasti ada tema berbeza.

"Setiap lagu yang disampaikan pastinya ada tema positif dan dikaitkan dengan perkara yang baik. GGV merupakan sebuah platform pertandingan, semestinya ada cabaran.

"Apa yang penting, identiti kami tidak akan kami tinggalkan. Kami akan tetap memberikan sentuhan Hijjaz dalam setiap lagu," kata Ariffin pula.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Untuk lebih info mengenai program ini dan menonton persembahan peserta Gema Gegar Vaganza, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal