Meskipun baru dalam industri muzik tanah air, namun penyanyi Haqiem Rusli akui tidak pernah menyangka akan dikenali ramai.

Haqiem Rusli, 19, mengakui pernah melalui pengalaman diekori peminat wanita hingga ke tandas.

Semuanya gara-gara peminat wanita tersebut mahu bergambar dan beramah mesra dengannya.

"Saya akui masa awal pembabitan saya dalam bidang ini, tiada siapa yang mengenali saya.

"Tapi sekarang ke mana saya pergi ramai peminat perasan dan mereka mendekati saya kerana mahu bergambar.

"Malah terdapat juga peminat yang fanatik sehingga saya pernah lalui pengalaman diekori peminat wanita sehingga ke tandas.

"Mereka mahu bergambar dengan saya tetapi sanggup mengekori saya dan menunggu saya di luar tandas.

"Walaupun mereka mempunyai pelbagai ragam namun saya tiada masalah melayan mereka dan tidak berasa penat ataupun terganggu setiap kali didatangi peminat," katanya kepada Astro Gempak.

Penyanyi yang popular dengan lagu Segalanya itu bagaimanapun mempunyai cara tersendiri menjaga batasan dengan peminat terutamanya terhadap peminat wanita.

Haqiem berkata dia berpendirian untuk tidak bersentuh dengan peminat wanita termasuklah bersalaman.

"Saya punya pendirian saya sendiri iaitu saya tidak akan bersalaman dengan peminat wanita jika ada yang menghulurkan tangan.

"Saya harap mereka faham dan dan rata-rata mereka memahami dan menghormatinya," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Haqiem bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Tergantung Sepi, tidak lama lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal