Pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi meluahkan rasa bangga apabila diberikan penghormatan untuk menjadi juri Gema Gegar Vaganza (GGV).

"Alhamdulillah, saya rasa sangat bangga dan bersyukur apabila diberikan peluang untuk sama-sama terlibat dalam program ini sebagai juri.

"Program ini bukanlah sekadar ditonton untuk hiburan, program ini juga memberi pengajaran menerusi lagu-lagu yang dipersembahkan," kata Oki kepada Astro Gempak.

Mengimbas kembali malam konsert pertama GGV, pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih ini menangis selepas kumpulan Hijjaz menyampaikan lagu Sumayyah.

"Lirik lagu tersebut sangat mendalam. Apabila Hijjaz menyanyikan lagu itu, saya kembali teringat dengan perjuangan Sumayyah. Hijjaz pula tampil dengan persembahan yang bertenaga dan penuh aura.

"Saya rasa sebak kerana saya tak boleh membohongi diri sendiri. Lagu tersebut memberikan makna yang sangat mendalam dan saya harap penonton lain yang mendengar dapat merasakannya," katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Untuk lebih info mengenai program ini dan menonton persembahan peserta Gema Gegar Vaganza, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal