Kumpulan nasyid Hijjaz tidak menjangkakan persembahan mereka menyampaikan lagu Sumayyah di konsert pertama Gema Gegar Vaganza (GGV) membuatkan juri dan penonton sebak.

Dianggotai oleh Munif Ahmad, 43, Isman Nadim Isam, 48, Mohd Faizal Osman, 44 dan Muhammad Ariffin Ahmad, 38, Hijjaz gembira mendapat respon positif penonton.

"Lagu Sumayyah merupakan antara lagu yang wajib kami nyanyikan di setiap persembahan.

"Untuk minggu pertama GGV, peserta harus membawa lagu asal dan produksi meminta kami mengalunkan Sumayyah.

"Menerusi lagu ciptaan saya dan lirik oleh Pahrol Mohd Joui itu, kami hadirkan dengan susunan muzik baru khas untuk GGV.

"Melihatkan penerimaan penonton usai kami menyanyikan lagu Sumayyah, sejujurnya kami tak sangka ada penonton yang sebak sehingga juri tetap, Oki Setiana Dewi mengalirkan air mata.

"Maklum balas penonton membuatkan kami terharu. Syukur Alhamdulillah, penerimaan orang ramai positif terhadap persembahan kami.

"Kami merasakan semua peserta GGV turut memberikan persembahan yang baik di minggu pertama," kata Munif mewakili kumpulan Hijjaz.

Memperoleh tempat teratas di minggu pertama GGV, Hijjaz bersyukur kerana dapat menimba pengalaman baru menerusi pertandingan sebegini.

"Alhamdulillah, mendapat markah tertinggi di konsert minggu pertama GGV membuatkan kami rasa gembira dan bersyukur.

"Pertandingan sebegini membuatkan kami mempelajari banyak pengalaman baru.

"Kami berharap agar platform GGV ini dapat menaikkan semula irama nasyid dan lagu-lagu berunsur ketuhanan di mata orang ramai," kata Faizal pula.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Untuk lebih info mengenai program ini dan menonton persembahan peserta Gema Gegar Vaganza, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal