Pelakon Diana Danielle mengakui menyimpan hasrat bergelar seorang penyanyi sejak kecil lagi.

Diana atau nama Diana Danielle Danny Beeson, 26, berkata, impian tersebut telah berjaya dicapai apabila tampil dengan single solo pertamanya berjudul Tentang Kita.

"Menjadi seorang penyanyi memang impian saya dan masa kecil dulu hari-hari saya akan menyanyi.

"Alhamdulillah, akhirnya impian saya tercapai apabila berjaya tampil dengan single solo pertama pada tahun ini.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk diri sendiri dan bukannya untuk memuaskan hati orang lain.

"Sejujurnya saya ada keraguan sama ada kemunculan saya boleh diterima atau pun tidak namun ia bukan menjadi halangan untuk saya mencapai cita-cita bergelar seorang penyanyi," katanya kepada Astro Gempak.

Diana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya bersama Warner Music Malaysia iaitu Tentang Kita, di Neway Karaoke, One Utama, baru-baru ini.

Tambah Diana, meskipun bergelar seorang pelakon perkara tersebut tidak menghalang dirinya untuk menjadi seorang penyanyi dan menghasilkan karya yang berkualiti.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi