Satu rakaman kamera litar tertutup dari sebuah balai polis di Banda Hilir, Melaka tular di laman sosial apabila dua buah pintu kaca terbuka sendiri pada pukul 3 pagi sekitar Khamis lalu.

Kejadian yang memeranjatkan tiga anggota polis sedang bertugas di meja aduan awam itu mula menjadi buah mulut orang awam yang mengaitkan ia dengan entiti mistik.

Menerusi rakaman berdurasi 73 saat yang telah dimuatnaik di Youtube, salah satu pintu kaca yang terbuka sendiri itu pecah.



Ada pengguna Internet yang mengaitkan kejadian itu dengan pelbagai peristiwa mistik di Bukit Senjuang (kubu lama Portugis).

Namun, ada juga yang mengaitkan kejadian itu dengan kejadian sains membabitkan perbezaan suhu dan tekanan udara dalam bangunan.




Bagaimanapun, polis masih belum mendapat laporan berhubung kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata pihaknya belum menerima laporan kejadian tetapi terkejut bagaimana rakaman CCTV berkenaan boleh menjadi viral di media sosial.

"Saya sahkan yang pintu Balai Polis Banda Hilir pecah namun saya belum menerima laporan mengenainya.

"Kejadian mungkin disebabkan tekanan angin, namun saya masih menanti laporan daripada balai terbabit," katanya.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Berita Harian