Salah seorang anggota kumpulan Nice, Tauke mengalami kecederaan pada bahagian tangannya beberapa jam sebelum Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) bermula.

Tauke ketika ditemui Astro Gempak berkata, kecederaan tersebut berlaku ketika sedang berlatih bersama Ropie dan Acong.

"Malam tadi (Khamis), kami berlatih seperti biasa dan saya tiba-tiba tergelincir ke dalam kolam renang berhampiran.

"Bahagian jari dan pergelangan tangan saya terhentak pada bahagian lantai kolam renang dan sakitnya ketika itu, hanya tuhan sahaja yang tahu.

"Selepas itu Ropie dan Acong cepat-cepat balut tangan saya dan sehingga malam ini (Jumaat) saya belum sempat melakukan pemeriksaan lanjut," katanya.

Tauke berkata, dia akan ke hospital pakar pada hari ini (Sabtu) untuk memastikan kecederaan dialami pada tangan kanannya itu.

"Saya sendiri tidak tahu tangan saya ini retak atau patah. Yang saya tahu ia sangat sakit dan membengkak.

"Bukan tidak mahu ke hospital, tetapi saya bimbang tidak dapat berlatih dan menunaikan tanggungjawab di MLM.

"Tak mengapalah, tahan sedikit sakit demi kawan-kawan dan peminat Nice," ujarnya.

Mengulas mengenai komen sesetengah netizen yang mendakwa juri MLM 2017, Datuk Rosyam Nor bersikap berat sebelah terhadap Nice, Tauke bagaimanapun menyangkal perkara tersebut.

"Kami (Nice) tidak pernah menganggap perkara tersebut (berat sebelah) berlaku.

"Setiap minggu kami positif dan mengambil komen dan juga HA yg diberi oleh beliau sebagai cabaran dan semangat walaupun sedikit terkilan," katanya.

Kumpulan Nice tersingkir selepas berada di tangga terbawah minggu ke lapan dengan markah keseluruhan sebanyak 47.37 peratus.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik link ini ----> (Maharaja Lawak Mega)