Malaysia tidak lagi menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) selepas kerajaan bersetuju menamatkan kontrak penganjuran mulai tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kontrak itu terpaksa ditamatkan berikutan pulangan menurun kepada negara berbanding 1999.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak berkepentingan.

"Kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun tetapi pulangannya semakin berkurangan termasuk dari segi penonton dan jumlah pelancong asing,” katanya ketika ditemui media.

Najib berkata penamatan penganjuran ini membolehkan kerajaan meningkatkan pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, dan banyak lagi.

Selain itu, beliau turut merancang untuk membina litar khas di Sungai Petani, Kedah.

"Litar Sepang akan terus memainkan peranan penting dalam usaha mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Litar Sepang juga akan terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran utama seperti MotoGP, Go-Kart, dan banyak yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia," jelas beliau.

Formula One Management (FOM) juga telah diberi penghargaan oleh kerajaan kerana terlibat dengan acara ini sejak 19 tahun lalu.

"Saya juga ingin menzahirkan setinggi penghargaan atas persefahaman serta persetujuan FOM yang bersetuju perlumbaan F1 2017 di Sepang menjadi perlumbaan terakhir di litar tersebut," katanya.

Sumber : Bernama, Astro Awani.
Kredit foto : Free Malaysia Today
Olahan : Izzat Ridzwan