Penyanyi Hafiz Hamidun menyifatkan kumpulan nasyid UNIC adalah bukan saingan untuknya dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV).

Pernah menganggotai kumpulan UNIC sebelum bergerak solo, Hafiz menganggap UNIC sebagai motivasi untuk dirinya.

"Walaupun kami dalam persaingan GGV, saya tak pernah anggap kami bertanding. Kami mempunyai matlamat yang sama walaupun cara kami berbeza.

"Saya begitu mengenali mereka. Kami juga mempunyai golongan peminat yang sama. Saya tidak merasakan yang kumpulan UNIC sebagai saingan.

"Mereka bukanlah saingan saya tetapi lebih kepada motivasi untuk saya. Saya tahu kemampuan UNIC. Sebagai sebuah kumpulan nasyid, mereka sangat bagus dan berada di tahap tersendiri.

"Saya jadikan mereka motivasi untuk saya tampil lebih baik. Dalam persaingan GGV, mereka tampil dalam kumpulan manakala saya pula solo. Jadi saya merasakan cabaran itu lebih kepada penyanyi yang tampil solo," kata Hafiz kepada Astro Gempak.

Bersedia untuk menampilkan kelainan dalam GGV, Hafiz mahu keluar dari zon selesa.

"Sebelum ini, saya sering menyanyikan lagu ciptaan sendiri. Menerusi GGV, sudah pasti akan ada cabaran setiap minggu untuk menyanyikan lagu penyanyi lain.

"Saya mahu keluar dari lapangan selesa dan bakal melakukan sesuatu yang berbeza dalam persaingan GGV kelak," katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Untuk lebih info mengenai program ini, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal