Sering bergandingan sebagai hero dan heroin di kaca televisyen, aktor Saharul Ridzwan mengharap agar penonton tidak bosan melihat lakonannya bersama aktres Janna Nick.

“Saya memang sudah mendapat keserasian dengan Janna kerana kami sering bergandingan. Namun begitu, saya risau penonton bosan melihat gandingan kami. Saya tak mahu penonton bosan melihat cara lakonan yang sama.

“Sebelum masuk ke dalam set penggambaran, saya terlebih dahulu berbincang dengan Janna mengenai perkembangan watak serta adegan-adegan yang bakal kami jayakan. Kami tak mahu penonton melihat lakonan yang sama.

“Jika saya dan Janna merasakan cara kami menjayakan sesuatu babak pernah kami lakukan dalam drama sebelum ini, kami akan cuba elakkan. Saya dan Janna enggan mengulang cara lakonan yang sama,” kata Saharul kepada Astro Gempak ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem televisyen (FTV) Bo Bajet Aksi di GSC The Gardens pada Rabu.

Bergandingan bersama Janna dalam Bo Bajet Aksi, Saharul menerima tawaran ini kerana tertarik dengan jalan cerita yang ditampilkan.

“Jalan cerita Bo Bajet Aksi berbeza dengan drama bersiri atau telefilem yang pernah saya jayakan dengan Janna sebelum ini. Saya tertarik dengan jalan cerita yang ditampilkan.

“Selain itu, saya juga tertarik untuk berlakon di bawah produksi Woohoo Pictures yang menghasilkan FTV ini. Sebelum ini, Woohoo Pictures pernah menghasilkan filem-filem berkualiti seperti Ola Bola dan The Journey,” katanya lagi.

FTV Bo Bajet Aksi arahan Bak Chee Hong itu akan disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) atau Astro On Demand bermula 27 April ini dengan harga RM15.90 selama 48 jam.

Dalam perkembangan terbaru, Saharul dan isterinya tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) menerusi kategori Couple MeleTOP.

Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir AME 2017 boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.

AME 2017 bakal menyaksikan Neelofa, Nabil Ahmad dan Johan sebagai pengacara. Penyampai Era FM, Radin serta Fad Bocey akan mengendalikan acara Karpet MeleTOP.

AME 2017 akan bersiaran secara langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal