Peserta tersingkir di minggu kedua Rockanova, Jr akui terasa dengan kritikan pedas yang diberikan oleh juri, Datuk Awie.

"Saya pun manusia biasa, tipulah kalau saya kata tak terasa dengan komen-komen yang diberikan oleh juri.

"Tapi tak mengapa, saya ambil kritikan itu sebagai pembakar semangat.

"Lagipun ini program realiti, bila dah masuk rancangan sebegini bermakna kita dah bersedia untuk terima apa sahaja perkara yang diperkatakan oleh juri.

"Kalau tak bagaimana kita nak tahu di mana kelemahan ketika buat persembahan," katanya.

Jr ditemui sejurus tamat konsert kedua Rockanova yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, semalam.

Jr atau nama sebenarnya Gajir Junior, 27, telah menyampaikan lagu Penglipur Lara nyanyian asal Hazama.

Peserta yang berasal dari Sabah ini telah menduduki tempat terakhir dengan undian sebanyak 34.13 peratus.

Selain Jr, peserta lain yang turut tersingkir pada malam tersebut adalah Eme dengan jumlah undian sebanyak 38.84 peratus.

Eme telah mempersembahkan lagu berjudul Debunga Wangi nyanyian asal Lefthanded.

Dalam pada itu, hos telah mengumumkan pihak produksi bakal menyerap masuk seorang peserta baru.

Peserta tersebut akan diumumkan menerusi diari Rockanova, Rock On.

Rockanova diterajui oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad selaku pengacara dan menampilkan dua juri tetap, Datuk Awie dan Edry Abd Halim.

Manakala pelakon Siti Elizad hadir sebagai juri jemputan.

Minggu kedua Rockanova menyaksikan para peserta bersaing dengan lagu bertemakan bebas.

Rockanova bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB setiap Rabu.

Program tersebut boleh ditonton setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi Saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Manakala diari harian Rockanova, Rock On boleh disaksikan Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda klik link ini ----> (ROCKANOVA).

Teks oleh: Mya Amri