Selain keindahan pantai yang memukau di sekitar Malaysia, tahukah anda bahawa terdapat pelbagai tempat rekreasi yang cantik tetapi memiliki nama yang pelik.

Tempat-tempat ni sebenarnya kurang diketahui oleh masyarakat dan sebenarnya merupakan lokasi paling menarik untuk dikunjungi bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Berikut kami kongsikan tempat-tempat percutian dengan nama yang pelik:



1. Sungai Bangang, Terengganu.
Sungai ini sememangnya kurang dikunjungi kerana lokasinya yang agak terpencil dan jauh. Untuk tiba di sungai ini, anda harus mendaki dari Hutan Lipur Chemerong yang terletak di Hulu Dungun, kira-kira 100 kilometer dari Kuala Terengganu.



2. Pulau Kentut Kecil & Kentut Besar, Kedah.
Pulau-pulau ini terletak di perairan Pulau Langkawi. Merupakan antara dua lambakan gugusan pulau di Langkawi, Pulau Kentut Besar & Kentut Kecil ini menjanjikan pemandangan yang menarik seperti pasir pantai yang putih dan air yang jernih.



3. Pulau Babi Tengah, Johor.
Pulau Babi Tengah atau dikenali sebagai Pulau Tengah merupakan sebuah pulau persendirian. Terletak kira-kira sembilan batu nautika dari Pulau Mersing, perjalanan dari jeti bot Mersing hanya mengambil masa selama 30 minit. Tahukah anda, sekitar tahun 70-an pulau ini dikenali sebagai kem transit bagi pelarian Vietnam yang kemudian di tutup pada awal 80-an.



4. Pulau Babi Besar, Johor.
Jangan terkejut dengan nama pulau ini kerana keindahan pantainya pasti membuat anda terpaku! Pulau Babi Besar kini dikenali sebagai Pulau Besar terletak di luar pantai timur Johor. Untuk sampai ke pulau ini, anda hanya perlu menaiki bot dari bandar Mersing dan mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja. Selain memiliki pemandangan yang menenangkan, pulau ini dikelilingi oleh Pulau Rawa, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi.



5. Pulau Susu Dara, Terengganu.
Pulau ini terletak berhampiran Pulau Perhentian. Di sekitar pulau ini juga dikelilingi gugusan pulau kecil seperti Pulau Susu Dara Besar, Pulau Susu Dara Kecil, dan Pulau Tokong. Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Pulau Perhentian pasti akan dibawa ke pulau ini bagi melakukan aktiviti snorkeling.



6. Gunung Besar Hantu, Negeri Sembilan.
Lokasi menarik buat kaki daki ini terletak di Jelebu, Negeri Sembilan. Gunung ini merupakan gunung tertinggi di negeri itu dengan ketinggian 1,461 meter dari aras laut. Jika berkunjung ke gunung ini, anda pasti akan bertemu dengan air terjun Lata Kijang, salah satu air terjun paling tinggi di Semenanjung Malaysia.


Sumber : Says.com
Olahan : Izzat Ridzwan