Pelakon dan pelawak, Zizan Razak kini telah bergelar pelumba profesional dan terlibat dalam perlumbaan MSF Racing Series 2017.

Zizan, 32, berkata, dia telah lama menyimpan hasrat untuk bergelar seorang pelumba kereta dan kini impian tersebut telah tercapai.

"Sebenarnya sudah lama saya menyimpan impian untuk menjadi seorang pelumba kereta namun kekangan waktu kerja sebagai penghibur saya terpaksa tangguhkan dahulu.

"Sekarang ini saya bersungguh-sungguh untuk menunaikannya kerana jadual tidak padat dan saya telah mendapat tajaan daripada Raceberry Mayhem Motorsport.

"Peluang yang datang ini tidak mungkin akan disia-siakan dan ia bukan lagi merupakan satu hobi tetapi menjadi seorang pelumba kereta adalah satu kerjaya baharu buat saya.

"Secara tidak langsung ia menjadi punca rezeki dan saya ambil serius setiap kriteria yang sudah ditetapkan untuk menjadi seorang pelumba," katanya kepada Astro Gempak.

Zizan berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani satu memorandum persefahaman diantara Super Acai Berry Nutritions bersama Mayhem Motorsport di Bukit Jalil Golf & Country Resort, baru-baru ini.

Tambah Zizan, dia sedang dalam proses menyiapkan diri untuk menghadapi perlumbaan pertamanya pada 16 April ini di Sepang.

"Saya masih melakukan persedian dan menjalani latihan bersama dengan pelumba kereta hebat iaitu Keifli Othman.

"Dia banyak membantu dalam berkongsi ilmu mengenai perlumbaan dan sering mengingatkan saya dari aspek keselamatan semasa berlumba.

"Peluang yang saya dapat ini bagaikan satu mimpi dan tidak mungkin akan disia-siakan begitu saja," jelasnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi