Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat tidak menghalang peminatnya untuk mengundi artis lain yang dirasakan layak.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 25, menjelaskan dirinya juga tidak pernah meraih undi untuk mendapatkan tempat dalam mana-mana anugerah.

“Saya tidak pernah meraih undi untuk mendapatkan tempat di mana-mana anugerah. Semuanya adalah hasil usaha peminat yang bersungguh mengundi saya.

“Saya cuma menggalakkan peminat untuk menjalankan tugas mereka untuk mengundi saya adalah untuk menunjukkan sokongan kepada pihak penganjur yang bertungkus lumus menjayakan majlis anugerah.

“Undian adalah keputusan masing-masing. Walaupun peminat saya meminati saya, saya tidak pernah menghalang mereka untuk minat artis lain. Saya okay sahaja. Selain mereka mengundi saya, apa salahnya jika mereka mengundi artis lain yang dirasakan bagus dan layak,” kata Ayda kepada Astro Gempak.

Tercalon dalam empat kategori Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017), Ayda tidak meletakkan sebarang harapan.

“Saya tak pernah berharap. Sudah tercalon pun saya anggap sebagai rezeki untuk saya dan saya sangat bersyukur. Terima kasih kepada peminat yang bertungkus lumus mengundi saya,” katanya lagi.

Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir AME 2017 boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.

AME 2017 bakal menyaksikan Neelofa, Nabil Ahmad dan Johan sebagai pengacara. Penyampai Era FM, Radin serta Fad Bocey akan mengendalikan acara Karpet MeleTOP.

AME 2017 bakal bersiaran secara langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Dalam perkembangan lain, drama mini bersiri digital berjudul 3 Gadis Manis lakonan Ayda bersama Cristina Suzanne dan Mira Filzah sedang disiarkan di Astro Gempak.

Selain Ayda, Cristina dan Mira, drama bersiri 3 Gadis Manis turut menampilkan Alvin Chong dan Dottie.

Jangan lupa saksikan drama bersiri 3 Gadis Manis yang disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my bermula 8 Mac.

Teks oleh: Kamaruddin Razal