Penyanyi Ana Raffali mengakui tidak kisah jika ada orang yang bakal melabelkan dirinya sebagai seorang penyanyi nasyid.

Bersaing dalam program realiti baru, Gema Gegar Vaganza (GGV), Ana bakal bersaing dengan sembilan peserta lain yang terdiri daripada penyanyi solo dan empat kumpulan nasyid.

“Bagi saya, GGV tidak tertakluk kepada penyanyi nasyid sahaja. Walaupun banyak kumpulan nasyid menyertai GGV, lagu-lagu yang bakal dipersembahkan dalam GGV lebih kepada lagu ketuhanan.

“Jika dilihat, banyak penyanyi pop dan penyanyi lagu genre lain menyanyikan lagu tema ketuhanan, malah ada juga kumpulan rock menyampaikan lagu-lagu dengan tema sama.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk menyertai GGV, saya sudah memikirkan kelainan yang bakal saya bawa. Jika ada pihak yang mahu melabel saya sebagai penyanyi nasyid, saya terima sahaja.

“Tetapi, saya sarankan semua penonton nantikan kelainan yang bakal saya bawakan di pentas GGV. Kelainan itu sudah semestinya sesuatu yang sama haluan dengan apa yang cuba saya sampaikan,” kata Ana kepada Astro Gempak.

Tambah Ana, GGV menjadi landasan yang sesuai untuk dia tampil semula dalam bidang nyanyian.

“Sebelum ini, saya tidak pernah hilang. Saya cuma memperlahankan rentak seni kerana memberikan fokus terhadap anak dan keluarga. Kini, anak saya sudah pun memasuki usia dua tahun.

“Apabila datangnya tawaran untuk menyertai GGV, saya rasakan program ini menjadi platform yang sesuai untuk saya kembali muncul dalam industri nyanyian,” katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Untuk lebih info mengenai program ini, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal