Tidak kira wanita mahupun lelaki, pasti anda inginkan kulit yang cantik, bersih, dan sihat.

Pelbagai cara dan teknik penjagaan telah dikongsi oleh pakar di luar sana untuk mendapatkan kulit yang diidamkan.

Namun tahukah anda bahawa kebanyakan daripada kita melakukan kesalahan lazim dalam penjagaan kulit muka yang dilakukan hampir setiap hari!

Berikut kami kongsikan amalan yang tidak patut dilakukan sekiranya anda ingin mendapatkan kulit wajah yang cantik dan sihat:

1. Tidak Membasuh Solekan
Jangan sesekali membiarkan solekan anda di wajah semalaman. Amalan ini akan menyebabkan liang roma tersumbat dan membawa kepada pembentukan sebum, di mana munculnya jerawat.

2. Tidak Menggunakan Pelindung Matahari (SPF)
SPF amat penting kerana dapat membantu melindungi kulit dari sinaran matahari. Selain itu SPF juga baik untuk melambatkan proses penuaan. Terdapat pelbagai pilihan pelembab, BB krim, dan CC krim dijual di pasaran yang sesuai untuk jenis kulit anda. Pastikan anda membuat pilihan yang betul!

3.Tidak Minum Air Secukupnya
Tahukah anda, air memainkan peranan penting untuk mendapatkan kulit yang cantik dan sihat. Pengambilan air yang cukup membantu menghilangkan lingkaran gelap bawah mata.

4. Pemakanan Tidak Sihat
Keadaan kulit mencerminkan pemakanan kita. Jika anda inginkan kulit yang berseri dan sihat, makanan yang diambil juga perlulah berkhasiat. Cara mudah untuk mendapatkan makanan berkhasiat adalah seperti pengambilan buah-buahan dan sayuran segar.

5. Tidak Menggunakan Pelembab Wajah
Jangan sangka kulit berminyak tidak memerlukan pelembab wajah. Tidak kira apa jenis kulit, anda disarankan untuk menggunakan pelembab wajah pada waktu siang dan khususnya sebelum tidur. Amalan ini juga penting untuk mendapatkan kulit yang sihat!

6. Solekan Terlalu Tebal
Solekan tebal akan menyebabkan liang pori tersumbat dan akan menghasilkan jerawat. Anda juga dinasihatkan untuk membeli solekan yang tahan lama kerana dapat membantu mengurangkan kerosakan kulit muka.


Sumber : Era.fm
Olahan : Izzat Ridzwan