Seorang pelajar berusia 16 tahun yang menjadi mangsa buli bekas rakan sekolahnya dua tahun lalu memfailkan tuntutan saman sebanyak RM2 juta.

Tuntutan dibuat kepada sembilan defendan termasuk lima pembulinya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu meliputi ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau yang masing-masing berjumlah RM1 juta itu difailkan remaja tersebut menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 46.

Mangsa masih mengalami trauma, tekanan perasaan, hilang tumpuan belajar dan kecederaan fizikal pada telinganya disebabkan perbuatan buli tersebut yang berlaku di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) pada April 2015.

Sewaktu kejadian, remaja yang ketika itu merupakan pelajar tingkatan dua telah dipanggil ke bilik ketua pengawas sekolah sebelum didatangi lima pelajar tingkatan lima yang juga merupakan defendan pertama hingga kelima pada pukul 10.40 malam.

Kesemua tertuduh termasuk dua daripadanya merupakan pengawas sekolah secara berasingan dan bersama-sama telah menyerang, memukul, menendang, mengugut dan membuli mangsa selama lebih tiga jam sehingga pukul 2 pagi, 27 April 2015


Sumber : Kosmo, Utusan Online
Olahan : Izzat Ridzwan