Juri tetap program Rockanova, Edry Ab Halim akui agak serius dan garang ketika memberikan komen kepada para peserta kerana persembahan yang kurang memuaskan.

Menurut Edry, dia berasa kecewa melihat persembahan dan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh beberapa peserta ketika konsert yang berlangsung pada Rabu lalu.

“Beberapa peserta memang terlalu ketara kesalahannya, kalau disebabkan faktor kegugupan itu saya faham kerana ada diantara mereka yang tidak biasa membuat persembahan atas pentas sebegini.

“Tapi apa yang saya tak boleh maafkan bila ada kesilapan seperti lupa lirik, pitching lari dan juga hilang fokus itu maknanya kelalaian yang berpunca daripada diri sendiri.

“Sebagai contoh Pijoe, awal-awal persembahan lagi dia dan lupa lirik, dan selepas itu dia hilang fokus. Macam mana saya tak garang, ini untuk kebaikan dia juga.

“Apa yang buat saya rasa sedikit kecewa apabila Pijoe sebenarnya sangat bagus ketika sesi latihan, dan itu memang saya tak nafikan.

“Tetapi lain pula jadinya bila dia buat persembahan yang sebenar. Nasib baik dia boleh kembali bertanding untuk minggu kedua nanti.

“Ini merupakan cabaran untuknya, dan saya harap dia berjaya lakukan yang terbaik untuk persembahan seterusnya,” katanya kepada Astro Gempak.

Pijoe atau nama sebenarnya Hafizul Andie Zulkarnain berada dikedudukan terakhir dengan peratusan undian sebanyak 27.5 peratus.

Bagaimanapun peserta berumur 27 tahun ini terselamat kerana tiada penyingkiran dilakukan untuk minggu pertama.

Minggu kedua bakal menyaksikan Pijoe menyampaikan lagu cabaran berjudul Time Is Running Out nyanyian asal kumpulan Muse.

Lagu tersebut diberikan oleh juri kepada mereka yang menduduki kerusi Karma.

Kerusi Karma merupakan tempat untuk peserta yang persembahannya kurang memuaskan. Peserta-peserta itu dipilih sendiri oleh juri.

Selain Pijoe, dia peserta lain yang turut berada di kerusi tersebut ialah JR (Penglipur Lara, Hazama) dan Ozil (Terusir, Nidji).

Rockanova diterajui oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad selaku pengacara dan menampilkan dua juri tetap, Datuk Awie dan Edry Abd Halim.

Manakala pelakon Nur Fazura pula hadir sebagai juri jemputan.

Minggu kedua Rockanova bakal menyaksikan para peserta bersaing dengan lagu bertemakan bebas.

Rockanova bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB setiap Rabu.

Program tersebut boleh ditonton setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi Saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda klik link ini ----> (ROCKANOVA).

Teks Oleh: Mya Amri