Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) XOXO, dianggotai Wan, Wan Gegau dan Chot menganggap penyingkiran mereka pada minggu ketujuh sebagai satu pencapaian terbaik buat kumpulan mereka.

Chot atau Hazmeer Hassan, berkata XOXO sebuah kumpulan baharu dan tidak menyangka akan berada di antara 10 peserta terbaik MLM 2017.

"Secara peribadi ini merupakan pencapaian terbaik kumpulan XOXO dan kami sendiri tidak menyangka akan pergi sejauh ini.

"Bagi kami, ia sesuatu yang luar biasa kerana sebelum ini pencapaian XOXO tidak seperti sekarang.

"Kami tidak akan berputus asa dan percaya pada rezeki yang telah ditetapkan serta akan mempelbagaikan lagi bahan lawak pada masa akan datang," katanya kepada Astro Gempak.

Chot ditemui ketika majlis sidang media minggu ketujuh MLM2017 bertempat di Royal Theater Shah Alam, Jumaat lepas.

Minggu ketujuh MLM2017 menyaksikan Acong daripada anggota kumpulan Nice telah merangkul trofi Gempak Man of The Match (GMOTM), bertemakan 'Pickup Line'.

Sementara itu, pelakon Erra Fazira telah dijemput sebagai juri jemputan, mengantikan Neelofa yang tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis perkahwinan kakaknya.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa .

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik link ini ----> (Maharaja Lawak Mega)

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi