Pelakon Jeon So Min dan pelawak Yang Se Chan telah dipilih sebagai anggota tetap Running Man.

Berita itu disahkan oleh wakil saluran Seoul Broadcasting System (SBS) semalam.

Menurutnya, Yang Se Chan dan Jeon So Min sebelum ini pernah menjadi tetamu jemputan dan episod tersebut mendapat sambutan hangat.

Tambahnya lagi, keserasian Yang Se Chan dan Jeon So Min bersama enam anggota lain tidak perlu dipertikaikan kerana mereka sememangnya selesa antara satu sama lain.

Dua anggota baru itu bakal menjalani penggambaran Runing Man bersama Yoo Jae Suk, Kim Jong Kook, HaHa, Song Ji Hyo, Ji Suk Jin dan Lee Kwang Soo bermula hari ini (3 April).

Dengan penambahan dua angggota baru menjadikan jumlah keseluruhan anggota Running Man adalah seramai lapan orang.

Dalam pada itu, wakil Saluran SBS itu turut memberitahu format Running Man juga akan diubah untuk memberikan kelainan kepada program berkenaan.

Terdahulu, Kang Gary yang merupakan anggota tetap Running Man mengambil keputusan meninggalkan program tersebut pada Oktober tahun lalu untuk memberi fokus terhadap karier nyanyiannya selepas enam tahun bersama.

Olahan: Mya Amri

Sumber: Soompi/ Allkpop