Kerajaan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari cuti umum tambahan di seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan hari ini berkata, dua acara utama akan diadakan di Istana Negara pada hari itu, iaitu Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan, pada sebelah malam.

“Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Selasa, 13 Disember 2016 menggantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan baginda pada 12 Disember 2016.

“Sehubungan itu, kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-15 akan mengadakan dua acara utama sempena pertabalan baginda.

“Istiadat Pertabalan akan diadakan pada pagi hari Isnin, 24 April bertempat di Balairung Seri, Istana Negara, manakala pada sebelah malam diadakan Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan, Istana Negara,” katanya.

Tambahan, katanya, dua acara lain turut akan diadakan, iaitu Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Putra, Putrajaya pada 20 April ini dan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja pada 2 Mei nanti.

Ali berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Labuan, serta kerajaan negeri akan mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri mereka.




Sumber: Berita Harian