Aktor Sharnaaz Ahmad, 32, selamat bergelar suami kepada kakak Neelofa, Noor Nabila, 32, pada jam 9.15 malam tadi.

Dengan hanya sekali lafaz, majlis pernikahan Sharnaaz dan Nabila yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Damansara itu dihadiri oleh keluarga dan teman rapat.

Sharnaaz dan Nabila telah dinikahkan oleh Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Haji Syamsul Firdaus Mohd Supri dengan mas kahwin RM1000.

Pihak pengantin lelaki memberikan lima dulang hantaran kepada pihak perempuan manakala pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran.

Pelakon drama bersiri Suamiku Encik Sotong ini kelihatan segak menyarungkan busana rona putih hasil rekaan Cosry manakala Nabila pula tampil jelita menyarungkan persalinan rekaan Datuk Radzwan Radzwil.

Majlis resepsi pihak perempuan bakal diadakan di Hotel Royal Chulan Damansara pada Ahad ini manakala majlis resepsi pihak lelaki akan berlangsung pada 8 April ini di Straits Quay Convention Centre Centre, Pulau Pinang.

Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad akan berbulan madu bersama Nabila atau nama sebenarnya Noor Nabila Mohd Noor di Italy pada 14 April ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal