Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memuat naik dua keping gambar bersama pelakon terkenal India, Rajnikanth.

Menerusi gambar yang dikongsikan Najib dalam laman sosial Twitter @NajibRazak, pertemuan itu berlangsung di kediaman bintang filem Kabali itu di Chennai, India.



Malah, Najib turut meluahkan rasa gembira kerana dapat bertemu dengan ikon filem Tamil kegemaran ramai itu.

“Just had a very warm n friendly meeting with Mr Rajnikanth the Tamil superstar at his home (baru saja bertemu dan berbual dengan superstar filem Tamil, Rajnikanth, di kediamannya),” tulis beliau dalam Twitter.

Manakala dalam laman sosial Facebook milik beliau, Najib menulis;"Siapa yang tidak kenal Rajnikanth? Gembira dapat berjumpa dengan superstar secara peribadi hari ini."


Menurut laporan media, Najib kini dalam rangka lawatan enam hari ke India atas jemputan rakan sejawatannya Shri Narendra Modi.

Difahamkan, Rajinikanth telah menghantar jemputan kepada Perdana Menteri kerana sebelum ini tidak berpeluang untuk bertemu dengan beliau ketika penggambaran filem Kabali di Malaysia, pada tahun lalu.

“Apabila membuat penggambaran filem Kabali di Malaysia, mereka telah memberi kerjasama yang baik.

"Jadi, saya cuba untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau ketika berada di situ, tetapi gagal kerana beliau agak sibuk.

“Apabila saya mendapat tahu beliau di Chennai, saya menghantar jemputan untuk bertemu dan beliau menerimanya,” kata Rajinikanth kepada media India dalam satu sidang media.


Sebelum ini, Telegraph India ada melaporkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyatakan hasrat untuk bertemu Rajnikanth namun dakwaan itu dinafikan menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, tindakan Najib berswafoto dengan personaliti terkenal dunia bukanlah sesuatu yang asing.

Najib membuktikan keakrabannya dengan Raja Salman Abdulaziz al-Saud ketika pemimpin tertinggi Arab Saudi itu mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hujung Februari lalu.

Najib turut berswafoto dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; presiden ke-44 AS, Barack Obama; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; presiden ke-24 Perancis, Francois Hollande dan penyanyi terkenal, Usher.


Teks oleh: Amri Hassan

Sumber: Twitter, Facebook Najib Razak, Rajinikanth