Bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3), Reza Mohamed, akui tidak pernah berniat meninggalkan industri hiburan sebaliknya mengambil rehat beberapa tahun untuk muhasabah diri.

Menurut Reza, dia kini kembali dengan semangat baru untuk memeriahkan semula industri hiburan tanah air dengan karya yang lebih berkualiti.

"Sejak beberapa tahun lalu saya bukan menghilang sebaliknya mencari diri saya sendiri dan memperbetulkan hala tuju sebenar dalam bidang seni.

"Saya juga cuba untuk bermuhasabah diri dalam mencari kekuatan sebenar selepas kehadiran saya dalam industri di pandang sepi oleh orang ramai.

"Saya ambil keputusan untuk berehat atas sebab-sebab tertentu dan kini telah bersedia untuk kembali dengan kekuatan dan semangat yang baru," katanya kepada Astro Gempak.

Reza berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Nova 2017, di Terrace Teh Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Konsert Nova 2017 bakal menampilkan penyanyi Judika, Cakra Khan, Azlan dan Dayang yang akan diadakan pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert ini merupakan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Untuk maklumat lanjut melalui konsert boleh melayari laman web www.konsertnova.com atau mengikuti media sosial Konsert Nova di Facebook dan Instagram.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi