Penyanyi Azlan & The Typewriter akui tidak serik untuk menerima tawaran untuk menjayakan sesebuah konsert meskipun pernah terdapat masalah pada sebuah konsert yang disertainya tahun lalu.

Menurut Azlan, masalah yang berlaku itu bukan alasan untuk dia tidak menerima tawaran lain.

"Perasaan serik itu tiada tetapi tipulah kalau saya katakan tidak ada rasa trauma dengan apa yang berlaku dulu.

"Setiap tawaran yang diterima sudah tentu ada risiko dan apa yang saya boleh katakan pengalaman lepas banyak memberi pengajaran.

"Perkara itu juga membuatkan saya lebih berhati-hati dan berharap ia tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang," katanya kepada Astro Gempak.

Azlan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Nova 2017, di Terrace Teh Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Konsert Nova 2017 bakal menampilkan penyanyi Judika, Cakra Khan, Azlan dan Dayang yang akan diadakan pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert ini merupakan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Untuk maklumat lanjut melalui konsert boleh melayari laman web www.konsertnova.com atau mengikuti media sosial Konsert Nova di Facebook dan Instagram.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi