Kelulusan tayangan filem Beauty and The Beast di bawah klasifikasi P13 tanpa potongan diputuskan Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) dan bukannya oleh Lembaga Penapis Filem (LPF), kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN dalam kenyataan hari ini menjelaskan JKRF ialah sebuah jawatankuasa yang bebas daripada LPF yang ditubuhkan berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 dan tidak terikat dengan keputusan LPF.

"JKRF diperuntukkan kuasa untuk mengesahkan, mengubah atau mengakas keputusan LPF," katanya.

KDN berkata pandangan bahawa LPF membuat 'u-turn' atau mengubah keputusannya dalam menonton tapis filem Beauty and The Beast adalah tidak berasas.

KDN berkata LPF menonton tapis filem Beauty and the Beast itu pada 17 Feb dan memberi keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) melibatkan tiga potongan dan satu dialog disenyapkan atas asas ia mengandungi elemen mempromosi gaya hidup gay.



Menurut KDN, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan LPF boleh mengemukakan rayuan kepada JKRF dalam masa 30 hari dari tarikh keputusan LPF.

Menurut KDN lagi, pihak pengeluar filem iaitu Walt Disney Pictures, Amerika Syarikat melalui syarikat Buena Vista Columbia Tristar Films (M) Sdn Bhd telah mengemukakan rayuan kepada JKRF pada 20 Mac.

JKRF menonton tapis filem berkenaan dan menimbang rayuan pihak pengeluar filem pada 21 Mac dan memutuskan untuk memberi kelulusan untuk tayangan di Malaysia di bawah klasifikasi P13 tanpa potongan (Lulus Bersih dengan klasifikasi P13), katanya.

Ia atas alasan elemen gay dalam filem tersebut adalah ringan dan tidak menjejaskan elemen positif yang dipaparkan dalam filem tersebut, katanya.

"Kewujudan LPF dan JKRF secara berasingan berdasarkan undang-undang iaitu Akta Penapisan Filem (2002) menunjukkan terdapatnya elemen semak dan imbang dalam proses penapisan filem di negara ini," kata KDN.

Mengenai penangguhan tayangan filem itu di Malaysia, KDN menjelaskan ia adalah merupakan keputusan pihak pengeluar iaitu Walt Disney Pictures dan pengedar filem, Buena Vista Columbia Tristar Films.

"Keputusan penangguhan tayangan filem berkenaan tiada kaitan dengan LPF," katanya.

Naskhah bercorak muzikal dan fantasi itu akan ditayangkan di pawagam di Malaysia hari ini (30 Mac).

Sumber: Bernama