Che Ta Tak Suka Kejutan Hari Jadi

29 Mac 2017. 6.00 PM
1,731
Hiburan
Che Ta Tak Suka Kejutan Hari Jadi
Pelakon jelita, Rozita Che Wan mengakui dirinya tidak menggemari kejutan sempena hari lahirnya.

Menyambut hari lahir ke-44 pada 9 Mac lalu, wanita yang mesra disapa sebagai Che Ta ini lebih gemar bercuti sebagai ganti sambutan.

"Sejujurnya, saya tak suka menyambut hari lahir atau kejutan hari lahir yang dibuat untuk saya. Jika untuk anak dan suami, saya dengan rela hati akan merancang segalanya tetapi untuk diri sendiri, saya tidak menggemarinya.

"Suami saya sendiri tahu yang saya tidak menggemari kejutan dan dia memahami perasaan saya. Dahulu ketika saya kecil, saya masih ingat yang bapa saya mengadakan sambutan hari lahir untuk saya. Namun begitu, semenjak saya bergelar pelakon, saya tidak pernah lagi menyambut hari lahir saya atau diberikan kejutan kerana saya memang takutkan sebarang surprise.

“Sebagai pengganti majlis sambutan hari jadi, saya lebih gemar menghabiskan masa bersama anak-anak dengan bercuti," kata Che Ta ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran wangian Ar-Radhi baru-baru ini.

Che Ta berbesar hati untuk melancarkan wangian keluaran A & M Berkat Sdn Bhd kerana ingin memberikan sokongan terhadap produk tempatan yang berkualiti.

“Saya mengenali pengasas wangian ini, Datuk Radzi Mansor yang mempunyai visi dalam bidang perniagaan. Walaupun dikeluarkan oleh syarikat tempatan, produk ini mempunyai kualiti setaraf produk luar negara.

“Walaupun saya mempunyai rangkaian minyak wangi sendiri, saya mahu sama-sama menyokong produk keluaran tempatan. Wangian ini juga mempunyai keistimewaan sendiri menggunakan bau-bauan amber oud (gaharu) yang sangat wangi dan didatangkan khas dari Tanah Suci,” kata Che Ta lagi.

Dalam perkembangan lain, anak Che Ta, Aaisyah Dhia Rana tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) menerusi kategori Si CIlik MeleTOP.

Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.

AME 2017 bakal menyaksikan Neelofa, Nabil Ahmad dan Johan sebagai pengacara. Penyampai Era FM, Radin serta Fad Bocey akan mengendalikan acara Karpet MeleTOP.

AME 2017 akan bersiaran secara langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @rozitachewan1, @kaiostudio dan @radzimansor82
 

Artikel Berkaitan


Komen