Tempoh bertunang adalah fasa mencabar bagi setiap bakal pengantin, begitu juga dengan pelakon Ummi Nazeera dan tunangnya yang dikenali sebagai Mr.I

Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 26, berkata gara-gara pilihan destinasi bulan madu, telah berlaku pertengkaran kecil antara dia dan tunangnya.

"Sejak akhir-akhir ini, kami sering pula bergaduh salah satunya berkenaan destinasi bulan madu. Tapi kami gaduh-gaduh manja saja dan tidak berpanjangan pun.

"Sebenarnya saya teringin mahu ke Istanbul, Turki. Dia pula mahu ke Switzerland.

"Saya tak mahu ke Switzerland kerana saya sudah ke sana dulu. Namun dia beri alasan mahu tunjukkan saya tempat yang sangat cantik dan menarik di sana nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Ummi ditemui pada majlis pelancaran jenama fesyen dan produk kecantikan Umma & Nita, bertempat di hotel Shangri-La, Kuala Lumpur semalam.

Bercerita mengenai bakal suaminya itu, Ummi memberitahu mereka banyak persamaan malah setelah berkenalan lebih setahun dia meyakini jejaka berkenaan lelaki yang tepat untuk menjadi suaminya serta ayah kepada bakal anak-anaknya.

"Kami lahir dalam bulan yang sama, mungkin sebab itu juga kami mempunyai banyak persamaan.

"Paling membuatkan saya yakin dia adalah Mr. Right saya kerana sikapnya yang penyabar. Saya pula, seorang yang bukan penyabar.

"Sejak dari awal perkenalan, dia sudah tahu perangai saya dan dia boleh memahami dan menerima saya seadanya.

"Dia seorang yang bijak bahagikan masa antara kerja dan keluarga. Apabila saya memerhatikan karakternya itu, saya yakin dia boleh jadi bapa yang baik untuk anak-anak saya kelak," katanya lagi.

Ummi mengikat tali pertunangan dengan Mr.I yang juga seorang doktor itu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di ibu kota pada 11 Disember tahun lalu.

Bakal mengumumkan tarikh perkahwinannya selepas hari raya Aidilfitri, Ummi memberitahu dia kini sudah mula membuat persiapan sempena hari bersejarahnya.

"Dari segi persiapan banyak lagi yang belum siap. Tapi setakat ini lokasi majlis sudah ada.

"Mama saya uruskan dari segi hal seperti makanan dan cenderahati untuk para tetamu. Saya pula, uruskan dari segi pelamin dan baju," katanya lagi.

Teks oleh Syafiqah Jalal