Penyanyi Siti Nordiana mendapatkan nasihat pengacara Jihan Muse sebagai persiapan untuk menjadi hos program Gema Gegar Vaganza (GGV).

GGV merupakan program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti televisyen terbaru yang bakal bersiaran di saluran Astro Oasis dan Astro Maya HD bermula 8 April ini pada jam 9.00 malam.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai pengacara. Pada awalnya, saya agak gementar untuk menerima tawaran ini tetapi selepas meneliti semula, saya fikir apa salahnya untuk saya mencuba.

"Tentunya pihak produksi melihat sesuatu yang berbeza dalam diri saya dan saya menyahut cabaran yang diberikan. Sebagai persiapan, saya menghubungi Jihan Muse untuk bertanya mengenai tips untuk menjadi seorang pengacara," kata wanita yang mesra disapa sebagai Nana.

Tambah Nana, dia juga yakin untuk beraksi sebagai hos kerana hadirnya Achey dan Fikry Lawak Solo sebagai pengacara bersama.

"Kehadiran Achey dan Fikry yang bakal sama-sama menjadi pengacara dalam GGV juga membuatkan saya bertambah yakin untuk mencuba.

"GGV juga menjadi satu landasan dakwah untuk saya kerana program ini bakal disiarkan di Astro Oasis dan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan juga merupakan lagu-lagu bersifat Islamik dan ketuhanan," katanya ketika ditemui di pengumuman calon Top 5 Anugerah Meletop Era 2017 (AME 2017) sebentar tadi.

Tersenarai dalam Top 5 Penyanyi MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP, Nana bersyukur kerana tercalon dalam kategori tersebut.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana tercalon dalam dua kategori tersebut. Usaha peminat saya yang mengundi amat saya hargai dan saya jadikan perangsang untuk bekerja dengan lebih kuat lagi," kata Nana.

AME 2017 bakal menyaksikan Neelofa, Nabil Ahmad dan Johan sebagai pengacara. Penyampai Era FM, Radin serta Fad Bocey akan mengendalikan acara Karpet MeleTOP.

AME 2017 bakal bersiaran secara langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal